Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Ratusan etnik Uighur tampil dalam media sosial menggesa kerajaan China memberi maklum balas tentang perkembangan ahli keluarga mereka yang hilang atau ditahan dalam ‘kem pendidikan vokasional’.
BBC melaporkan, gesaan itu berikutan pemuzik Uighur, Abdurehim Heyit yang sebelum ini didakwa telah terbunuh, muncul menerusi sebuah video dalam keadaan masih hidup.
Video tersebut tular selepas kerajaan Turki mengkritik kekejaman dan penahanan yang dilakukan kerajaan China terhadap etnik tersebut di Xinjiang.
Beberapa kumpulan Uighur bagaimanapun mempersoalkan kesahihan dan ketulenan video itu.
Ahli keluarga kepada tahanan dan aktivis kini tampil dalam laman Twitter dan Facebook, menggunakan tanda pagar #MeTooUyghur mendesak kerajaan untuk membuktikan keluarga mereka berada dalam keadaan selamat.
Dianggarkan hampir sejuta etnik Uighur dan etnik minoriti beragama Islam yang lain ditahan di sebuah pusat tahanan yang didakwa kerajaan China sebagai pusat latihan vokasional untuk memerangi keganasan.
Salah seorang etnik Uighur, Alfred mendakwa, dia tidak bertemu kedua orang tuanya selama lebih 11 bulan.
Menerusi laman Twitter, dia mendesak kerajaan China membuktikan ibu bapanya masih hidup.
“China, seperti apa yang kamu lakukan kepada penyanyi #Abdrehimheyit, tunjukkan ibu bapa saya. Sudah hampir 15 bulan ibu saya dibawa ke kem tahanan. Begitu juga ayah saya yang hilang sejak 11 bulan yang lalu. Buktikan kepada saya mereka masih hidup. #MeTooUyghur #stopconcentrationcamp,” tulisnya dalam Twitter.
Aktiviti harian etnik Uighur di wilayah Xinjiang dikawal ketat oleh penguat kuasa China dan ramai yang tinggal di luar China mendakwa terputus hubungan dengan ahli keluarga sejak bertahun lamanya.
Babur Jalalidin dan kakaknya turut mendesak kerajaan China membuktikan bahawa ibu bapa mereka masih hidup.
Dalam pada itu, anak kepada bekas Ketua Editor Xinjiang Cultural Journal, Qurban Mamut memohon rayuan bagi pembebasan ayahnya yang hilang sejak 2017.
“Tunjukkan video ayah saya, Qurban Mamut. Kamu memutuskan hubungan kami lebih daripada setahun,” tulisnya.
Selain itu, saudara kepada pemain bola sepak, Erpat Ablekrem, menerusi laman Facebook memohon kerajaan China membebaskan Erpat daripada pusat tahanan tersebut.
Erpat ditahan sejak Mac tahun lalu.
13 Februari 2019 - 19:41
News ID: 928977
Ratusan etnik Uighur tampil dalam media sosial menggesa kerajaan China memberi maklum balas tentang perkembangan ahli keluarga mereka yang hilang atau ditahan dalam ‘kem pendidikan vokasional’.